» » Pengalaman Mempunyai Anak Speech Delay

Pengalaman Mempunyai Anak Speech Delay

Assalamualaikum.

Sebenarnya, hati ini merasa berat untuk menuliskan mengenai hal ini. Kerana mungkin orang akan beranggapan yang Mama ini suka sangat menceritakan tentang perihal anak pertama ini. Tetapi biarlah coretan ini dapat dibaca oleh ibu-ibu dan ayah-ayah yang mempunyai anak yang lambat bercakap seperti kami.

Kerana Mama tahu bagaimana perasaanya. Mama tahu betapa risaunya hati bila anak masih belum bercakap seperti anak-anak lain sebayanya. Kalau boleh, semua jenis terapi yang ada kita nak cuba supaya dapat membantu anak bercakap dengan cepat.

Bukanlah bermaksud kita tak redha dengan dugaan ini. Tetapi kita perlu berusaha untuk memberi yang terbaik buat anak-anak syurga ini.

Anak Mama yang pertama ini namanya Izz Ammar. Sekarang dah berumur 4 tahun. Dulu semasa umur Ammar dalam lingkungan 10 bulan, ada satu hari tu dia asyik ulang-ualng cakap “Allah, Allah, Allah”. Memang banyak kali dia ucapkan kalimah keramat ini.

ammar  4 tahun

Tapi sayangnya bila Mama nak ambil video, dia akan diam seribu bahasa. Namun, memori ini akan terus terpahat kukuh dalam memori Mama dan suami.

Selepas peristiwa itu, tak ada lagi dengar Ammar cakap macam itu lagi. Dia cuma banyak berdiam, jarang nak dengar Ammar berbunyi. Menangis pun jarang juga sebenarnya. Kiranya Ammar ini anak yang senang untuk dijaga. Kalau berbunyi pun, lebih kepada bahasa German dan ‘mumbling’.

Bila sepupu Ammar yang sebaya dengan dia sudah mula belajar bercakap, Ammar masih lagi macam itu. Masa itu kami tinggal di Perancis. Jadi bila Skype dengan keluarga di Malaysia, pasti mereka akan tanya Ammar dah pandai cakap apa? Sedihnya nak jawab masa tu, Ammar belum pandai cakap lagi.

ammar di paris

Bila Ammar dah dapat adik pun, dia tak pedulikan sangat adiknya. Ammar lebih kepada dunia dia sendiri.

Sehinggalah kami balik semula ke Malaysia, Ammar masih macam tu lagi. Masa mula-mula sampai Malaysia itu, kami ada bawa Ammar sertai playgroup GBOB. Tapi Ammar tak mahu ikut aktiviti sangat, mungkin sebab masa itu dia baru baik demam.

Jika anda membaca sehingga ke bahagian ini, mesti ada terfikir yang Ammar ini autism ke? Sebab ada ciri-ciri autistik itu. Mama pun terfikirkan benda yang sama juga sebenarnya. Tapi seboleh-bolehnya memang cuba menafikan.

Sehinggalah kami bawa Ammar berjumpa dengan doktor, dan dia katakan Ammar normal, cuma ada masalah lambat bercakap. Dan doktor berikan kami surat rujukan ke hospital kerajaan. Di hospital, Ammar kena buat ujian telinga dahulu untuk pastikan dia tiada masalah pendengaran. Bila dah dipastikan yang dia tak ada masalah pendengaran, barulah kami diberikan tarikh temujanji dengan ahli terapi pertuturan.

Disebabkan sesi terapinya lambat lagi, kami ambil keputusan untuk bawa Ammar ke pusat terapi pertuturan swasta. Sesinya adalah sebanyak sekali seminggu. Sejak hadiri terapi ini, barulah ada nampak perubahan sedikit pada Ammar. Tapi kami cuma bawa Ammar pergi terapi selama beberapa bulan sahaja. Sebabnya suami agak sibuk pada masa tersebut dan tak sempat nak bawa Ammar ke sesi terapi.

Selepas berhenti sesi terapi, kami masukkan Ammar ke taska pula. Tujuannya adalah untuk bagi Ammar peluang untuk bergaul dengan kawan-kawan sebaya. Alhamdulillah sejak masuk taska, banyak sangat perubahan yang ada pada Ammar. Memang dia belum boleh bercakap dengan betul, tapi minat dia untuk berceloteh potpetpotpet tu dah ada. Cuma butir cakapnya kurang jelas.

ammar di taska

Sekarang ini pula kami sudah berpindah ke Gombak. Untuk tahun ini, Mama buat keputusan untuk tidak hantar Ammar ke taska. Mama mahu jalankan sesi terapi sendiri di rumah. Mama sudah sertai bengkel terapi dengan ahli terapi pertuturan pada awal tahun ini. InsyaAllah Mama akan kongsikan pengalaman tersebut di entri seterusnya.

Mama juga ingin sediakan Ammar untuk masuk tadika tahun hadapan. Mama mahu pastikan Ammar pandai uruskan diri sendiri.

Untuk setakat hari ini, sudah banyak perkataan yang Ammar tahu sebut. Alhamdulillah, Mama bersyukur sangat-sangat. Cumanya sekarang Ammar perlu belajar cara untuk membuat ayat. Dan kadang-kadang sebutan Ammar kurang jelas, macam angin lalu je bunyinya. =)

Doakan Ammar petah bercakap seperti anak-anak yang lain ye. Amin.

Leave a Reply

CommentLuv badge